Wednesday, October 9, 2019

Fluvoxamine

Aku meneguk segelas air bersama-sama sebiji Fluvoxamine. Terasa sedikit masin apabila aku letakkan di hujung belakang lidah. Inilah rutin baru malam aku sebelum tidur, selain 'skincare routine'. Lalu aku termenung seketika, memikirkan bahawa yang aku tidak terfikir langsung untuk sampai ke tahap ini. Tahap di mana aku memerlukan rawatan. Perasaan aku sedikit bercampur-baur, sedikit lega, sedikit takut. Minda aku juga penuh persoalan;

"Betulkah aku perlukan rawatan? Atau ini hanyalah perasaan aku sahaja."
"Bolehkah aku sembuh?"
"Normalkah aku?"

Dari segi fizikal, syukur kerana masih sihat lagi sempurna. Tetapi ku diuji dari sudut lain. Aku terlalu kuat merasa sesuatu perasaan. Terlalu dalam menyimpan di hati. Terlalu berfikir akan apa yang berlaku dan apa yang tidak akan berlaku sekalipun. 

Degupan laju jantung aku terasa di dada. Sungguh, tidak selesa. Aku menarik nafas dalam dalam melalui hidung lalu melepaskan nafas menerusi mulut, aku ulang perkara yang sama tiga kali. Ini adalah satu teknik pernafasan supaya aku kembali bertenang. 

"Takpe, sekejap lagi okey lah. Baru sahaja telan ubat, nanti ubat tu kick in lah." bisik aku kepada diri sendiri sebagai penyedap hati. 

Baru sekali aku menelan ubat itu. Namun, aku sudah mula tidak menyukainya. Kesan sampingannya boleh tahan kuat. Keesokan harinya, pasti seharian tekak aku seperti disekat sesuatu dan terasa mual. Penglihatan aku seakan-akan kabur. Sudah la bermata empat, pandangan kabur lagi. Kadang-kadang juga, dalam keadaan sedar jari jemari menggeletar sedikit.

Tetapi, situasi waktu tidur aku berubah. Tiada lagi degupan jantung yang kuat meghalang lelap mataku. Kini, tidur aku gelap gelita lagi lena. Dada aku juga terasa sedikit ringan dari perasan risau  yang di luar kawalan itu. Tidak aku ingat bila kali terakhir tidur aku begitu indah walau tiada mimpi indah. Aku tak perlu bermimpi, aku mahu lena.