Saturday, December 21, 2019

Ulasan Artikel (PPBI)

Artikel ini merupakan daripada laman web yang bernama Writing Forward yang ditulis oleh Melissa Donovan. Tajuk artikel ini adalah 22 Petua Mengarang yang Terbaik (The 22 Best Writing Tips). Berdasarkan tajuk, sudah jelas artikel ini telah menyenaraikan 22 petua untuk mengarang.

Berdasarkan artikel tersebut, secara keseluruhannya daripada 22 petua tersebut saya mendapati apa yang paling penting apabila ingin mengarang dengan baik adalah dengan membaca dan menulis secara berterusan serta sebanyak mungkin. Petua yang diberi adalah sangat mudah dan boleh diikuti. Namun, bergantung juga kepada individu sama ada ingin menggunakan petua ini sepenuhnya. Oleh hal yang demikian, penulis atau bakal penulis juga haruslah mempunyai dedikasi dan azam yang tinggi untuk terus menulis. Semoga dengan tips ini sedikit sebanyak memberikan panduan dalam dunia mengarang.

Setitik Rahsia

Rahsia aku tidak lalu dipecahkan,
mahupun mampu disimpan.

Rahsia aku hanya dirasai,
kemudian pergi tidak dikesan lagi.

Setitik itu ada beribu perasaan,
namu aku tetap melepaskan.

Lalu terus menjadi setitik rahsia,
yang hanya diketahui kedua-dua mata.

Dissociative Identity Disorder (DID)

Disebabkan cerpen saya mengisahkan seorang penghidap DID, di entri blog kali ini akan serba sedikit menerangkan tentang apa itu Dissociative Identity Disorder menggunakan bahasa yang mudah.

Secara umumnya, DID ialah sejenis penyakit mental yang menjadikan seseorang individu itu mempunyai lebih dari satu identiti. Namun begitu, ramai orang sering menganggap penghidap DID ini hanya mempunyai personaliti yang berbeza berdasarkan di mana situasi mereka berada. Hakikatnya, penghidap DID ini seperti mempunyai orang lain di dalam diri mereka hanya berkongsi badan atau jasad sahaja. Di mana setiap identiti tersebut juga mempunyai nama, umur, jantina, bangsa, warganegara dan hobi serta minat yang berlainan.

Punca seseorang itu mempunyai DID adalah kebiasaannya disebabkan oleh mereka mengalami trauma ketika individu itu masih kecil iaitu sekitar umur 6 sehingga 9 tahun sahaja. Oleh hal yang demikian, mereka yang mengalami trauma selepas dari umur 9 tahun mempunyai kurang potensi untuk menghidap DID. Sehubungan dengan itu, hendaklah kita semua sedar bahawa penyakit mental seperti ini adalah wujud lagi benar. Jadi, kita tidak boleh memandang remeh terhadap mereka. Kerana apa yang mereka hidap sekarang adalah disebabkan oleh tekanan yang terlampau menyebabkan badan mereka harus menyesuaikan diri agar mereka dapat teruskan hidup sambil melalui situasi trauma itu.

Saya berharap, masyarakat kita lebih peka dan tidak mengambil mudah tentang apa-apa sahaja penyakit mental yang wujud seperti kemurungan, anxiety, bipolar disorder dan lain-lain. Penghidap-penghidap seperti ini memerlukan sokongan daripada sahabat, pendengar daripada orang yang tersayang dan doa-doa dari orang sekeliling.

Monday, December 9, 2019

Sakit tidak semestinya luka

sakit yang tiada luka,
sakit yang tidak akan berparut,
walau banyak kali ditikam lara.

namun sakitnya bawa ke jiwa dan hati,
dada ku berombak,
menggigil jari jemari,
menahan segala sebak.

ya Tuhan,
jika ini jalan ke jannahMu,
sakit ini akan ku terima,
walau hancur kudrat aku menahan.

-musfrh

Tuesday, November 26, 2019

Ada Tetapi Tiada Lagi

Aku mungkin akan kehilangan seorang yang sering mendengar, yang paling memahami dan yang paling tabah yang aku pernah jumpa. Aku sedih. Namun aku gembira dia pergi dengan cara ini seperti yang aku minta dari Tuhan.

Bukan semua dari kalangan kita inginkan hidup yang sebegini, tidak mahu hidup begini kerana yang ingin dimatikan itu adalah kesakitan bukannya nyawa. Tetapi, kita semua mahukan pengakhiran yang baik.

Semoga bertemu lagi. Kau adalah ingatan aku.

Wednesday, November 6, 2019

Langit Ungu Aku

6 November 2019 | 7:14 malam



fikiran ku bagai langit ungu,
bukan langit biru tanda siang,
bukan langit oren tanda senja merangkak ke malam.

tetapi tanda hari bakal ditangisi,
jika tidak pun... awan tetap kekal mendung,
menjadi beban fikiran yang berarak tidak henti.


Monday, November 4, 2019

Dwi Sora Angkasa

Kas merenung langit dengan penuh perasaan di hati. Langit senja Hiroshima begitu oren sama dengan dedaun musim luruh. Angin sejuk membelai halus pipi cengkung Kas.

"Kamu nampak ni Kal?" soal Kas lalu terangguk dengan sendirinya.

"Kita mungkin melihat langit yang sama, tapi langit kita tetap berbeza. Dunia kita berbeza. Kita berdua berbeza." kata Kal menjadikan matas Kas yang membulat dek kerana asyik merenung langit bertukar menjadi kuyu dan sayu.

"Aku tau." balas Kas cuba untuk tersenyum.

Wednesday, October 9, 2019

Fluvoxamine

Aku meneguk segelas air bersama-sama sebiji Fluvoxamine. Terasa sedikit masin apabila aku letakkan di hujung belakang lidah. Inilah rutin baru malam aku sebelum tidur, selain 'skincare routine'. Lalu aku termenung seketika, memikirkan bahawa yang aku tidak terfikir langsung untuk sampai ke tahap ini. Tahap di mana aku memerlukan rawatan. Perasaan aku sedikit bercampur-baur, sedikit lega, sedikit takut. Minda aku juga penuh persoalan;

"Betulkah aku perlukan rawatan? Atau ini hanyalah perasaan aku sahaja."
"Bolehkah aku sembuh?"
"Normalkah aku?"

Dari segi fizikal, syukur kerana masih sihat lagi sempurna. Tetapi ku diuji dari sudut lain. Aku terlalu kuat merasa sesuatu perasaan. Terlalu dalam menyimpan di hati. Terlalu berfikir akan apa yang berlaku dan apa yang tidak akan berlaku sekalipun. 

Degupan laju jantung aku terasa di dada. Sungguh, tidak selesa. Aku menarik nafas dalam dalam melalui hidung lalu melepaskan nafas menerusi mulut, aku ulang perkara yang sama tiga kali. Ini adalah satu teknik pernafasan supaya aku kembali bertenang. 

"Takpe, sekejap lagi okey lah. Baru sahaja telan ubat, nanti ubat tu kick in lah." bisik aku kepada diri sendiri sebagai penyedap hati. 

Baru sekali aku menelan ubat itu. Namun, aku sudah mula tidak menyukainya. Kesan sampingannya boleh tahan kuat. Keesokan harinya, pasti seharian tekak aku seperti disekat sesuatu dan terasa mual. Penglihatan aku seakan-akan kabur. Sudah la bermata empat, pandangan kabur lagi. Kadang-kadang juga, dalam keadaan sedar jari jemari menggeletar sedikit.

Tetapi, situasi waktu tidur aku berubah. Tiada lagi degupan jantung yang kuat meghalang lelap mataku. Kini, tidur aku gelap gelita lagi lena. Dada aku juga terasa sedikit ringan dari perasan risau  yang di luar kawalan itu. Tidak aku ingat bila kali terakhir tidur aku begitu indah walau tiada mimpi indah. Aku tak perlu bermimpi, aku mahu lena. 

Monday, September 23, 2019

Sakit yang Tidak Dilihat

Apakah erti sakit bagi kita? Luka? Berlumuran darah? atau bengkak biru? Mungkin juga apabila kita dijangkiti kuman virus dan bakteria seperti Aids, HIV, TB dan macam-macam lagi. Tetapi, sering kali kita lupa malah mengambil mudah tentang mental. 

Ya, mental juga boleh sakit. Boleh dipatah riuk, ditikam, ditusuk dan sebagainya. Perbezaannya ialah sakit ini tidak dapat dilihat. Hanya boleh dirasai. Kemurungan (depression), kerisauan melampau (anxiety), PTSD, DID dan banyak lagi. Penghidap sakit-sakit ini, ketahuilah mereka tidak gila. Tetapi  mereka sudah terlalu kuat memerah kudrat menghadapi segala situasi yang sangat tragik dan menakutkan di dalam hidup mereka. 

****

"Aamiin." Kas menekup kedua belah tapak tangannya ke muka. Sedikit lama. Suasana yang sunyi hanya bunyi kipas yang didengari. Kepalanya ditundukkan ke bawah. Suatu haba mula menitis dan mengalir di celah jari jemari Kas.  Badannya semakin menunduk, gigi diketap. Suara sebaknya ditahan agar tidak terlalu kuat. 

Ya, Kas menangis sekuat hati tetapi di dalam kesenyapan. Setiap kali selepas menunaikan solat pasti disusuli air mata. Kerana dia lebih percaya kepada yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Tidak pasti apa yang dirasai Kas. Dia kesakitan. Dadanya sesak. Setiap hari dia merasakan dia tidak mampu tanggung perasaan ini lagi. 

"Kalau lah mereka faham. Kalau lah mereka tahu. Mereka tidak akan sesekali mahu jadi seperti aku." bisik hati Kas. Kas rebah ke atas sejadah, masih menangis dan terus menangis. Sehinggalah, tangisan Kas yang memang sudah perlahan itu menjadi lebih perlahan. Nafasnya yang teresak kembali seperti biasa. Buat sekian kali, dia tertidur bersama air matanya. 

Tuesday, September 17, 2019

Angkasa

Kas terbangun secara mengejut. Bukan dari tidur, bukan dari lelap. Seolah-olah dari lamunan yang panjang. Paling lama setakat ini. Kas yang sedang berdiri di atas dua kakinya mula terasa longlai. Sendi-sendi terasa sengal, kepalanya sakit dan sedikit berpinar. Dia kehabisan tenaga. Kas tidak lagi mengingati waktu dia tidur dan waktu dia bangun dari tidur serta setengah dari aktiviti hariannya. 

"Lagi sekali, apa lagi lah yang dia buat hari ni." bisik Kas di dalam hati. Dia mengelipkan mata dan sesekali membeliakkannya. 

Kas mula melihat sekeliling, hari masih siang yang menghampiri waktu petang berdasarkan cahaya-cahaya yang menembusi besi-besi jendela kamar. Angin bertiup melalui bukaan kecil jendela, mengibarkan langsir. Kas hanya menggelengkan kepala lalu melangkah kembali ke katil dan melabuhkan jasadnya secepat mungkin. Dia berasa letih yang teramat. Kas merenung kipas siling yang sedang berputar seperti fikirannya. 

Setiap orang mempunyai 24 jam dalam sehari. Namun, tidak bagi Kas. Dia merasakan 24 jam sehari itu bukan lah untuk dia semata-mata. Mungkin pada jasadnya sahaja, tetapi tiada jiwa. 


Friday, September 13, 2019

Pembuka Bicara

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbt, 
Musfirah bt Saiful Arif nama diberi. 

Blog ini bakal memaparkan perjalanan ku menghasilkan sebuah cerpen. Segala ilham, idea, imaginasi, fantasi ku akan dicurahkan di sini. Semoga ku berjaya menghasilkan sebuah cerpen yang mampu menyampaikan mesej yang baik kepada semua pembaca.