Monday, September 23, 2019

Sakit yang Tidak Dilihat

Apakah erti sakit bagi kita? Luka? Berlumuran darah? atau bengkak biru? Mungkin juga apabila kita dijangkiti kuman virus dan bakteria seperti Aids, HIV, TB dan macam-macam lagi. Tetapi, sering kali kita lupa malah mengambil mudah tentang mental. 

Ya, mental juga boleh sakit. Boleh dipatah riuk, ditikam, ditusuk dan sebagainya. Perbezaannya ialah sakit ini tidak dapat dilihat. Hanya boleh dirasai. Kemurungan (depression), kerisauan melampau (anxiety), PTSD, DID dan banyak lagi. Penghidap sakit-sakit ini, ketahuilah mereka tidak gila. Tetapi  mereka sudah terlalu kuat memerah kudrat menghadapi segala situasi yang sangat tragik dan menakutkan di dalam hidup mereka. 

****

"Aamiin." Kas menekup kedua belah tapak tangannya ke muka. Sedikit lama. Suasana yang sunyi hanya bunyi kipas yang didengari. Kepalanya ditundukkan ke bawah. Suatu haba mula menitis dan mengalir di celah jari jemari Kas.  Badannya semakin menunduk, gigi diketap. Suara sebaknya ditahan agar tidak terlalu kuat. 

Ya, Kas menangis sekuat hati tetapi di dalam kesenyapan. Setiap kali selepas menunaikan solat pasti disusuli air mata. Kerana dia lebih percaya kepada yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Tidak pasti apa yang dirasai Kas. Dia kesakitan. Dadanya sesak. Setiap hari dia merasakan dia tidak mampu tanggung perasaan ini lagi. 

"Kalau lah mereka faham. Kalau lah mereka tahu. Mereka tidak akan sesekali mahu jadi seperti aku." bisik hati Kas. Kas rebah ke atas sejadah, masih menangis dan terus menangis. Sehinggalah, tangisan Kas yang memang sudah perlahan itu menjadi lebih perlahan. Nafasnya yang teresak kembali seperti biasa. Buat sekian kali, dia tertidur bersama air matanya. 

Tuesday, September 17, 2019

Angkasa

Kas terbangun secara mengejut. Bukan dari tidur, bukan dari lelap. Seolah-olah dari lamunan yang panjang. Paling lama setakat ini. Kas yang sedang berdiri di atas dua kakinya mula terasa longlai. Sendi-sendi terasa sengal, kepalanya sakit dan sedikit berpinar. Dia kehabisan tenaga. Kas tidak lagi mengingati waktu dia tidur dan waktu dia bangun dari tidur serta setengah dari aktiviti hariannya. 

"Lagi sekali, apa lagi lah yang dia buat hari ni." bisik Kas di dalam hati. Dia mengelipkan mata dan sesekali membeliakkannya. 

Kas mula melihat sekeliling, hari masih siang yang menghampiri waktu petang berdasarkan cahaya-cahaya yang menembusi besi-besi jendela kamar. Angin bertiup melalui bukaan kecil jendela, mengibarkan langsir. Kas hanya menggelengkan kepala lalu melangkah kembali ke katil dan melabuhkan jasadnya secepat mungkin. Dia berasa letih yang teramat. Kas merenung kipas siling yang sedang berputar seperti fikirannya. 

Setiap orang mempunyai 24 jam dalam sehari. Namun, tidak bagi Kas. Dia merasakan 24 jam sehari itu bukan lah untuk dia semata-mata. Mungkin pada jasadnya sahaja, tetapi tiada jiwa. 


Friday, September 13, 2019

Pembuka Bicara

 بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum wbt, 
Musfirah bt Saiful Arif nama diberi. 

Blog ini bakal memaparkan perjalanan ku menghasilkan sebuah cerpen. Segala ilham, idea, imaginasi, fantasi ku akan dicurahkan di sini. Semoga ku berjaya menghasilkan sebuah cerpen yang mampu menyampaikan mesej yang baik kepada semua pembaca.